Frequently Asked Questions (FAQ) @ Amateur Radio

01. Apakah itu Radio Amatur?

Radio Amatur atapun juga dikenali sebagai “Ham Radio” ialah hobi berkenaan membina, menguji-kaji dan berkomunikasi melalui radio. Pengguna-pengguna Radio Amatur ini saling berhubung dengan rakan-rakan mereka seluruh dunia melalui beberapa set-set frekuensi radio yang telah ditetapkan. Radio amatur juga adalah satu hobi yang berorientasikan persahabatan kerana ia berteraskan komunikasi antara dua pihak.

 

02. Bilakah Radio Amatur Bermula?

Sejarah Radio Amatur ini telah bermula semenjak perhubungan radio digunakan. Pada tahun 1912, Kongress Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang pertama bagi mengawal selia pemancaran radio di Amerika Syarikat. Bermula 1914, pengguna Radio Amatur telah mula berkomunikasi dan mengadakan satu system penghantaran mesej di antara mereka. Di Malaysia, radio amatur merupakan titik bermulanya perkhidmatan radio komersil sebelum selepas perang dunia pertama dan callsign pertama wujud selepas perang dunia pertama pada seawal 1932 di Singapura iaitu VS1AA.

 

03. Bagaimana untuk menjadi seorang operator Radio Amatur ?

Hanya mereka yang telah diperakukan boleh mengendalikan sesuatu alat Radio Amatur. Bagi mendapatkan Sijil Perakuan, anda haruslah warganegara Malaysia berusia 14 tahun ke atas dan lulus ujian-ujian berikut:

  • Ujian Teori Radio dan Kefahaman Peraturan Radio bagi mendapatkan Sijil Perakuan Kelas B; atau
  • Ujian Kod Morse dengan tempoh setahun memegang Sijil Perakuan Kelas B bagi mendapatkan Sijil Perakuan Kelas A.

 

04. Siapakah yang mengeluarkan Sijil Perakuan?

Sijil Perakuan tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia @ SKMM kepada mereka-mereka yang telah lulus ujian yang diadakan. Sijil perakuan perlu diperbaharui berdasarkan tempoh tamat sepertimana lesen-lesen yang lain. Terdapat undang-undang serta peraturan yang perlu dipatuhi sebagai pemegang lesen diantaranya ialah tidak boleh memberi gannguan isyarat pada sistem komunikasi yang lain.

 

05. Adakah anda perlu membayar yuran?

Ya, Sijil Perakuan tersebut haruslah diperbaharui setiap tahun. Yuran tahunan bagi Sijil Perakuan Kelas A adalah sebanyak RM36 dan bagi Sijil Perakuan Kelas B, yurannya adalah RM24 setahun. Manakala kos yuran proses adalah RM60. Tempoh minimum bagi permohonan lesen ialah setahun manakala maksimum ialah 5 tahun.

06. Siapa yang boleh membantu anda?

Kelab-kelab Radio Amatur terdapat di seluruh Malaysia dan bersedia untuk membantu anda. Terdapat pelbagai persatuan diperingkat daerah/komuniti mahupun negeri berasaskan radio amatur. Ada di antara kelab-kelab tersebut mempunyai halaman web yang mengandungi maklumat mengenai hobi tersebut.

 

07. Apakah yang boleh anda pelajari sebagai permulaan?

Anda boleh memulakan pelajaran anda dengan mempelajari fonetik abjad yang digunakan oleh pengguna-pengguna Radio Amatur di seluruh dunia! Anda juga boleh menjadi seorang pendengar isyarat radio amatur yang dikenali dengan Short Wave Amateur Radio Listener @ SWAL. Kini terdapat banyak bahan bacaan serta video yang anda boleh perolehi dengan mudah di internet.

 

08. Adakah anda masih boleh menikmati hobi dalam kekangan masa?

Sudah tentu! Hobi ini tidak terikat kepada sesuatu masa, tempat dan pendapatan seseorang. Memandangkan ianya mudah dikendalikan, ramai yang sentiasa sibuk mendapati ianya seronok digunakan dan mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja. Anda dan juga keluarga anda juga boleh menikmati dan mempelajari hobi ini.

 

09. Adakah kos yang mahal diperlukan bagi hobi ini?

Sebuah radio bersaiz telapak tangan yang baru mungkin sama harganya dengan satu TV 19 inci yang berkos rendah. Radio yang lebih besar adalah sama kosnya dengan satu computer. Selain dari itu, bahan-bahan pembelajaran berkenaan Radio Amatur adalah berpatutan dan yuran peperiksaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan juga adalah rendah. Secara alternatif, sekiranya anda cenderung untuk menguji-kaji, seperti kebanyakaan pengguna Radio Amatur atau “Ham Radio”, anda boleh membuat unit “Ham Radio” anda sendiri dengan kos yang lebih rendah.

 

Editor : 9M2ESM

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *